29 February, 2012

Malaysia tertinggi masalah obesiti






MALAYSIA berada pada kedudukan tertinggi di kalangan negara ASEAN yang berhadapan dengan masalah obesiti, manakala yang keenam di rantau Asia Pasifik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata masalah itu berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan di kalangan rakyat negara ini.
“Kita sebagai masyarakat harus menekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan termasuk kadar pengambilan gula seharian yang menyumbang kepada diabates,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) berhubung tahap penggunaan gula di kalangan rakyat Malaysia berbanding negara lain.
Rosnah berkata, berdasarkan kajian pengambilan gula di kalangan orang dewasa di negara ini pada 2002 dan 2003 mendapati, rakyat Malaysia mengambil 51 gram gula tambahan, berbanding 50 gram yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menjawab soalan asal daripada Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil), Rosnah berkata, sebanyak 1,266 sampel makanan dianalisis pada 2009 untuk bahan pemanis dan 7.3 peratus atau 92 sampel daripadanya didapati melanggar standard yang ditetapkan.

“Pada 2010, sebanyak 2,004 sampel makanan dianalisis di mana 5.4 peratus bersamaan dengan 108 sampel didapati melanggar standard ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan mahkamah terhadap pihak industri yang tidak bertanggungjawab, kerajaan juga mengeluarkan senarai produk yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Tindakan pihak kementerian adalah dengan melaksanakan pengambilan sampel dari semasa ke semasa untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah terdiri daripada makanan yang selamat dimakan,” katanya.





No comments:

Post a Comment